Para murid adalah ‘tiang negara dan pewaris bangsa’, kata Mawan

Mawan (tengah) menyampaikan APC)Tahun 2019 sempena Sambutan Hari Guru Tahun 2020 Peringkat Daerah Julau di Dewan SMK Julau No 2, Pakan hari ini.

KUCHING, 14 Ogos: Ahli Dewan Undangan Negeri Pakan Tan Sri William Mawan Ikom hari ini berkata para murid merupakan tiang negara dan pewaris bangsa yang bakal menjadi pemimpin negara suatu hari nanti.

Oleh yang demikian, beliau menyeru kepada ibu-bapa dan para guru agar mereka dapat memasikan pengasuhan, bimbingan dan dorongan dalam semua aspek kehidupan para murid dari peringkat awal adalah amat penting.

“Malahan pembangunan dan perkembangan yang tinggi dalam aspek keperibadian dan sahsiah juga wajib diberi perhatian yang sama berat agar mereka suatu hari nanti mampu bersaing secara kompetitif dalam era globalisasi ini,” kata Mawan

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2019 Dan Sambutan Hari Guru Tahun 2020 Peringkat Daerah Julau di Dewan SMK Julau No 2, Pakan hari ini.

Mawan yakin bahawa APC Tahun 2019 dan Sambutan Hari Guru Tahun 2020 peringkat Daerah Julau selaras dengan matlamat memberikan dorongan dan memotivasikan para pengurusan, para guru dan anggota kumpulan pelaksana agar membantu murid-murid untuk terus berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam beberapa aspek penting seperti kokurikulum dan sahsiah.

“Saya percaya setiap individu yang berada di sekolah telah bertungkus lumus dalam memastikan murid mencapai kecemerlangan baik dari segi kurikulum mahupun kokurikulum pada tahun 2019 dan sedang berpadu tenaga dalam menjulang kemajuan murid-murid di Daerah Julau pada tahun ini dan tahun-tahun seterusnya,” tambah Mawan.

Mengucapkan tahniah kepada 73 orang penerima APC tahun 2019, Mawan juga berharap dengan pengiktirafan tersebut, ia akan menyuntik semangat dan mencetus inspirasi kepada semua warga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Julau untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang.

“Saya yakin dan sangat percaya PPD Julau dibawah kepimpinan yang sedia ada cukup berkemampuan dan berkebolehan untuk untuk meningkatkan prestasi akademik dan mengasah bakat dan ketrampilan yang ada dalam diri murid-murid masing-masing,” jelas Mawan.

Sementara itu, Mawan berkata, tugas sebagai pendidik ibarat berada di sebuah ladang dimana guru menanam benih-benih keinsanan, menyiram air kasih sayang, membajainya dengan luhur budi agar terus subur dan membesar dengan sempurna.

“Pohon yang membesar seumpama itu pula akan menghasilkan buah bakti yang akan terus memberi manfaat kepada orang lain dan alangkah besar pengorbanan dan tugas seorang guru. Jika dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, sudah pasti ganjaran yang besar menanti di alam abadi,” ujar Mawan.

Sambutan Hari Guru tahun ini bertemakan “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”, Mawan menyifatkan ia sebagai begitu signifikan dalam kerangka membina bangsa dan negara yang bertamadun tinggi.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah pegawai Daerah Pakan Seroji Ludin dan pegawai Pendidikan Daerah Julau Dali Rain.–DayakDaily