This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 18 Julai: Pangkalan udara Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak dijangka dibina di Sibu.
Ketua Pengarah JBPM Dato Abdul Wahab Mat Yassin berkata, lokasi tersebut memudahkan JBPM untuk memantau seluruh Sarawak.
“Mungkin kita bina di tengah Sarawak iaitu di Sibu supaya dapat memantau seluruh Sarawak dengan dekat,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.
Terdahulu Abdul Wahab hadir ke Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 Dan Pingat Perkhidmatan Bomba JBPM Negeri Sarawak di sini hari ini.
Tambah beliau, pangkalan udara (sementara) JBPM Sarawak kini menyewa satu kawasan berhampiran Lapangan Terbang Miri.
Katanya, ia turut berperanan memantau kawasan-kawasan di Sabah.
Ujar Abdul Wahab, pihaknya masih menunggu kelulusan tanah daripada pihak kerajaan negeri bagi membina pangkalan udara di lokasi yang sesuai.
“Perancangan awal memang di Kuching, tetapi kekangan untuk mendapatkan tanah bagi pangkalan udara tidak selesai, masih tergantung,” ujar beliau.
Dalam pada itu Abdul Wahab berkata, JBPM merancang mewujudkan sekurang-kurangnya lima pangkalan udara baharu.
Ujar beliau, antara lokasi pangkalan udara baharu yang dirancang ialah di Johor bagi Zon Selatan, Terengganu atau Pahang bagi Zon Timur, Sabah serta satu pangkalan tetap di Sarawak.
Ketika ini, JBPM memiliki dua pangkalan udara di Semenanjung iaitu di Bertam, Pulau Pinang bagi Zon Utara dan Subang di Selangor bagi Zon Tengah manakala satu pangkalan sementara di Borneo iaitu di Miri. — DayakDaily