Pameran ‘Hutan Kita’ berlangsung di Menara Kuala Lumpur

Dr Mahathir (tiga dari kiri) di perasmian pameran Hutan Hujan Tropika baru-baru ini.

KUCHING, Sept 24: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah terlibat dalam pameran ‘Hutan Kita’ anjuran Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli yang berlangsung selama sebulan di Menara Kuala Lumpur bermula dari Ogos 24 hingga Sept 22.

Menurut satu kenyataan media, acara tersebut merupakan pameran hutan hujan tropika yang terbesar dan dicatatkan dalam Malaysian Book of Records dimana 850 spesies pokok tropika dipamerkan.

Penglibatan JHS dalam pameran ‘Hutan Kita’ pada tahun ini amat bermakna dan penting sempena sambutan 100 Tahun Penubuhan Jabatan Hutan Sarawak.


Pameran tersebut diadakan bagi mempamerkan keindahan dan kekayaan sumber alam semulajadi yang terdapat di Malaysia dan khususnya di Sarawak kepada orang awam.

Seramai 500 ke 700 orang awam termasuk pengunjung dari luar negara telah melawat tapak pameran setiap hari.

Sebahagian daripada pengunjung di pameran Hutan Hujan Tropika di Menara Kuala Lumpur.

Antara paparan utama negeri Sarawak untuk pameran ini adalah alat musik tradisional sape, puncak Gunung Mulu, ‘Heart of Borneo’ dan Tapak Ramsar-Taman Negara Kuching Wetlands.

Pameran ini secara lansung mempromosikan negeri Sarawak sebagai destinasi eko-pelancongan dan menggalakkan lebih banyak pengunjung ke Sarawak.

Alunan musik sape dan tarian tradisional telah mencuri tumpuan ramai pengunjung ke pameran ini.

Pameran ini telah menunjukkan kepada orang awam dan pengunjung dari luar negara bahawa Sarawak adalah negeri yang masih kaya dengan nilai kebudayaan.

Pameran ‘Hutan Kita’ dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad pada Ogos 24 dan berakhir semalam. — DayakDaily