Paip pecah punca gangguan bekalan air di Subis dan Beluru

Kerja baik pulih paip pecah sedang giat dilakukan.

KUCHING, 8 Ogos: Paip pecah di kawasan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo punca gangguan bekalan air di daerah Subis dan Beluru sejak petang semalam.

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dalam kenyataan hari ini berkata, gangguan meliputi kawasan Bukit Song, Bekenu, Bukit Peninjau, Beluru Fasa 2 dan sehingga ke kawasan pesisir pantai Bekenu.

“Pihak kontraktor Lebuhraya Pan Borneo telah dimaklumkan agar kerja-kerja baik pulih dijalankan dengan segera bagi mengelakkan ketiadaan bekalan air yang berpanjangan di kawasan yang terjejas,” katanya.


Menurut JBALB, kerja-kerja baik pulih selesai dijalankan pada sekitar pukul 2 pagi tadi dan bekalan air di kawasan yang terjejas akan kembali pulih seperti sediakala secara berperingkat.

Manakala bagi kawasan yang berada di titik hujung dan di kawasan yang berbukit berkemungkinan akan mengambil masa yang lebih lama untuk kembali pulih.

“Namun demikian, pada pagi ini pihak teknikal JBALB Bahagian Miri telah mengesan dua lagi kebocoran paip berdekatan dengan simpang Marudi.

“Saluran paip didapati sering pecah dan mengalami kebocoran akibat kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo,” kata JBALB.

Sementara itu, pihak JBALB Bahagian Miri akan melakukan penghantaran bekalan air ke kawasan yang terjejas bagi memastikan para pengguna dapat melakukan aktiviti harian mereka. — DayakDaily