This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 21 Jun: Insiden paip pecah yang berlaku di kawasan Taman Malihah adalah disebabkan oleh tekanan air yang tinggi sewaktu masa puncak, kata Menteri Utiliti Datuk Julaihi Narawi.
Dalam catatan Facebook rasminya semalam, beliau memberitahu, ia berikutan siapnya kerja pemasangan sambungan paip utama di Matang-Batu Kawah.
Jelas beliau, keadaan bertambah buruk disebabkan paip jenis simen asbestos (AC) di kawasan tersebut yang dipasang lebih 30 tahun dahulu semasa kawasan ini mula dibangun dengan projek perumahan.
“Penyelesaian segera yang diambil ialah dengan memasang ‘pressure reducing valves’ (PRV) di Lorong 7 dan 11 untuk mengurangkan tekanan air tinggi semasa waktu puncak permintaan.
“Pada waktu puncak (siang) PRV dipasang pada kadar tidak melebihi 2.5 bars bersamaan dengan 25m manakala pada waktu malam tidak melebihi 1.5 bars bersamaan 15m,” katanya.
Bagi memenuhi keperluan segera penduduk terjejas, Julaihi memaklumkan, tangki air akan diletak di beberapa tempat strategik di kawasan Taman Malihah.
Katanya, PRV yang sedia ada ‘incoming pipeline’ menuju Taman Malihah akan dinaik taraf pada waktu siang dan malam.
“Penggantian semua paip lama jenis AC sepanjang 4 kilometer akan disegerakan berdasar reka bentuk yang baru disiapkan.
“Jadi, saya harap cadangan penyelesaian segera yang diambil ini akan mengurangkan paip pecah dan seterusnya memberi bekalan air terawat yang lebih sempurna tanpa gangguan kepada penduduk Taman Malihah dan kawasan sekitar.
“Sesungguhnya, satu pelan jangka panjang sedang diambil untuk mengganti paip lama di seluruh Sarawak secara berperingkat-peringkat,” ujar Julaihi. — DayakDaily