Paip kecil, tekanan air rendah antara sebab Siburan mengalami masalah bekalan air

Penduduk Kampung Endap di Siburan mendapatkan bekalan air bersih dibekalkan JBALB dan LAK mengunakan lori ke kawasan terbabit.

KUCHING, Okt 15: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak menjelaskan antara punca masalah bekalan air di kawasan Siburan dan sekitarnya yang terletak di luar bandaraya ini adalah paip air utama yang berukuran kecil (“undersized”) dan sebahagian penguna yang menetap di tanah tinggi.

Disamping itu masalah bekalan air yang tidak konsisten dan bertekanan rendah di kawasan terbabit juga adalah akibat daripada permintaan air terawat yang semakin meningkat dari Loji Rawatan Air Tapah dibawah JBALB dan tambahan bekalan dari Loji Rawatan Air Batu Kitang di bawah Lembaga Air Kuching (LAK).

“Masalah bekalan air ini menjadi berlarutan disebabkan oleh sistem saluran paip air LAK tersumbat yang mengakibatkan bekalan air ke kawasan dibawah kendalian JBALB terjejas bermula Oktober 10 lepas sehingga kini,” menurut kenyataan media JBALB bagi mengulas penduduk yang mengadukan masalah bekalan air terbabit dan disiarkan sebuah akhbat tempatan semalam.


Berikutan itu kerja-kerja catuan air dan penghantaran air ke kawasan yang terjejas juga sudah dilakukan jabatan terbabit dan LAK sementara menunggu kerja baik pulih disiapkan.

Manakala bagi menangani masalah terbabit bagi jangkamasa panjang, projek Pemindahan Talian Paip Jalan Kuching-Serian (Bahagian Pertama) sedang dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka akan siap pada akhir tahun ini.

“Projek ini melibatkan penyambungan paip air utama dan pembinaan stesen pam penggalak untuk air terawat dari Loji Rawatan Air Batu Kitang untuk menambahbaik sistem bekalan air di kawasan Siburan dan sekitarnya,” menurut JBALB.

Sehubungan itu jabatan tersebut sangat komited untuk memastikan segala kejadian gangguan bekalan air diselesaikan dengan segera dan segala perkembangan terkini proses baik pulih akan dimaklumkan kepada penguna dari masa ke semasa. — DayakDaily