Padah cuba rasuah RM10,000, polis cekup pekerja pembalakan

Pihak berkuasa merampas kayu balak haram.

Oleh Dean Adam

SIBU, Jan 16: Padah cuba memberi wang rasuah sebanyak RM10,000 kepada pihak berkuasa, seorang lelaki dicekup selepas bertindak sedemikian dalam satu serbuan di pusat pengumpulan kayu balak di Pasai Siong dekat sini.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 10, Supt Sanudin Mohd Isa berkata, suspek berkenaan diberkas semasa cuba menyogok pihak berkuasa untuk tidak mengambil tindakan ke atas balak-balak haram yang dilonggokkan di situ.

Jelasnya, tangkapan ke atas suspek berusia 45 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 7 pagi semalam.

“Pasukan serbuan yang disertai pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) juga berjaya merampas sebanyak 70 batang kayu balak pelbagai saiz dan spesies.


“Nilai rampasan kesemua termasuk pelbagai peralatan dan jentera yang digunakan ialah kira-kira RM200,000,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sanudin memberitahu, siasatan mendapati pihak suspek telah menjalankan operasi pembalakan secara haram di kawasan berkenaan.

Katanya, suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan kes tersebut.

“Kes ini disiasat mengikut Ordinan Hutan Sarawak 2015 dan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009,” katanya. — DayakDaily