Oleh Dean Adam
LAWAS, Mei 29: Satu majlis serah-terima tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Lawas di antara P/SUPT Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dan ASP Liong Tindan dengan disaksikan oleh ACP Lim Meng Siah, KPD Miri selaku wakil Pesuruhjaya Polis Sarawak telah berlangsung di Bilik Gerakan IPD Lawas, hari Isnin.
Majlis turut menyaksikan serah terima tugas Pengerusi Perkep Lawas di antara Puan Lilly Salawati Sahrani dan Puan Jurawati Bunsu.
Majlis tersebut berlangsung dengan lancar dan diakhiri dengan sesi bergambar.
Sementara itu, Lim dalam ucapan ringkasnya memberitahu, anggota polis perlu meningkatkan integriti dalam kalangan mereka agar terus kekal sebagai sebuah pasukan yang relevan di kalangan masyarakat.
Katanya, setiap anggota polis harus juga sentiasa bersatu dan menyokong wadah perjuangan pucuk pimpinan dalam memerangi masalah rasuah, dadah, dan disiplin dalam pasukan.
“Saya berharap semua anggota polis di IPD Lawas akan terus memberi khidmat bakti yang terbaik pada masyarakat dan sentiasa mengutamakan silaturrahim dan perpaduan,” ujarnya.
Abang Zainal Abidin telah menabur bakti di IPD Lawas genap 4 tahun, 6 bulan, 3 minggu dan 3 hari.
Beliau akan secara rasmi mengambil alih jawatan selaku Ketua Polis Daerah Limbang awal bulan Jun ini. — DayakDaily