Orang Sarawak mesti tolak politik jijik — Abdullah

Abdullah (tiga kanan) menerima cenderamata daripada penduduk ketika menghadiri Program Gawai-Raya di Rh Mudai.
Advertisement

KUCHING, 14 Jun: Faktor urusan politik tidak dapat dielakkan dalam mana-mana sejarah ketamadunan manusia serta pembentukan sesebuah negara, malah politik juga wujud dalam sejarah penyebaran pelbagai agama di dunia.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat), Abdullah Saidol, berpendapat bahawa masih ada segelintir orang yang berkecimpung dalam urusan politik berjiwa ikhlas dan jujur untuk berkhidmat kepada masyarakat, berkorban dan berjuang dalam perkara-perkara yang membawa kepentingan bersama.

“Pada masa yang sama, urusan politik semakin dikaitkan dengan amalan-amalan sumbang, korup dan kesombongan kerana kerakusan segelilir orang-orang politik mengejar populariti, pangkat, mementingkan diri sendiri serta hipokrasi yang membuat masyarakat semakin meluat dengan kerenah orang-orang politik.

Advertisement

“Amalan politik semakin jijik dan kotor bila segelintir masyarakat terpengaruh dan terjebak dengan perbuatan-perbuatan seperti menghina agama, mencemuh adat dan bernada perkauman. Perbuatan ini sangat merbahaya dan boleh menjerumus negara kita ke arah kekacauan serta meretak perpaduan,” kata Abdullah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melancarkan jerayawara Program Gawai-Raya bersama masyarakat di Semop yang bermula di Rumah Panjang Mudai di Sg Sian, Bintangor, semalam.

Abdullah menambah bahawa peranan media sosial juga semakin disalahgunakan oleh sesetengah pihak dan orang-orang tertentu.

“Memang wujud segelintir orang yang berotak tetapi tidak berakal. Mulut lebih cepat dari akal. Kita tidak boleh menyalahkan masyarakat yang sentiasa memberi persepsi serong terhadap pemimpin-pemimpin politik.

“Dalam keadaan dunia yang semakin kucar-kacir, untuk mengubah persepsi negatif masyarakat tentang politik bukan urusan yang mudah. Pendek kata, tanggungjawab untuk mempastikan urusan politik dihormati masyarakat adalah ditangan orang politik itu sendiri,” jelas beliau.

Abdullah juga mencadangkan agar kepimpinan politik dari semua parti-parti politik di negara ini harus berjumpa untuk secara serius berbincang secara jujur dan iklas aspek amalan politik yang semakin tidak terkawal tersebut.

“Ini penting untuk mempastikan generasi akan datang mewarisi sebuah negara yang aman dan tenang. Perpaduan masyarakat adalah juga satu bentuk pembangunan negara yang penting.

“Pilih, kamu mahu sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni atau rumah yang besar dan cantik tetapi dalam keadaan kucar-kacir?” tanya beliau.

Justeru itu, beliau berharap penduduk Sarawak yang majmuk dan menempatkan berbagai etnik kaum dan agama serta budaya yang unik agar terus menjaga kemakmuran sedia ada.

“Jangan kita ‘bakar kelambu hanya kerana seekor nyamuk’ kerana amat sukar untuk kita membangun semula negeri kita jika rakyat tidak bersatu atau bekerjasama.

“Untuk mempastikan negeri kita terus membangun dalam keadaan aman, kita tiada pilihan lain selain dari terus bersatu hati dan jiwa untuk menolak sebarang unsur atau propaganda politik yang memecahkan kita.

“Kita mesti berfikiran sewarasnya untuk memilih kepimpinan yang iklas menunjuk kesungguhan dan bekerjasama untuk membawa pembangunan dan kesejahteraan kita bersama. Kita mesti belajar kesan daripada kecuaian-kecuaian yang lepas bila membuat keputusan,” kata beliau.

Program ramah-tamah Gawai-Raya tersebut akan diadakan sehingga 24 Jun dan akan meliputi 26 destinasi kampung-kampung serta rumah panjang di kawasan Semop.

Selain daripada acara bermiring dan giling bidai di rumah panjang, diadakan juga persembahan hiburan, pertandingan dan cabutan bertuah.

Beliau juga menyampaikan sumbangan kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Kampung (JKKK) setiap rumah panjang dan duit Gawai-Raya kepada kanak-kanak sekolah di setiap destinasi majlis itu diadakan. — DayakDaily

Advertisement