Orang awam cemas lihat Honda Civic tiba-tiba terbakar

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran melibatkan sebuah kereta.

Oleh Dean Adam

KUCHING, April 2: Orang awam yang melalui Jambatan Segubang, Sejijak di sini cemas selepas sebuah kereta Honda Civic tiba-tiba terbakar, malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.36 malam.

Katanya, sepasukan lapan anggota bomba dari BBP Batu Lintang kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kenderaan tersebut.

“Pasukan bomba segera melakukan operasi pemadaman dan pemeriksaan lanjut mendapati tiada kecelakaan berlaku,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, tindakan pihak bomba membuat pemadaman menggunakan hos dari jentera.

“Operasi tamat sepenuhnya pada tahun 9.21 malam,” katanya. — DayakDaily