Ops Selamat sempena Hari Gawai berlangsung dari Mei 25-Jun 8

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, Mei 24: Polis Kontinjen Sarawak akan mengadakan operasi Op Selamat sempena Perayaan Hari Gawai Dayak dari Mei 25 hingga Jun 8 yang keseluruhannya selama 15 hari di seluruh negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata operasi itu akan membabitkan semua cawangan polis Kontinjen Sarawak dan semua daerah di negeri ini dengan lebih kurang seramai 850 pegawai dan anggota polis akan memastikan keselamatan jalan raya dan rumah yang ditinggalkan penghuninya di seluruh negeri ini.

“Lokasi tumpuan pihak polis sepanjang operasi ini ialah di kawasan yang kerap berlaku kemalangan jalan raya atau kawasan titik hitam dan juga kawasan titik panas jenayah di mana kejadian pecah rumah sering kali berlaku,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Alexon berkata operasi keselamatan jalan raya dalam tempoh selama 15 hari operasi terbabit akan dilaksanakan berteraskan kaedah “Total Enforcement” dan ini adalah supaya semua penguna jalan raya akan lebih berhati-hati semasa memandu di jalan raya pada musim perayaan akan datang.

“Selain itu, operasi ini juga akan memberi fokus kepada kempen rumah selamat iaitu memastikan keselamatan rumah yang ditinggalkan penghuninya disepanjang musim perayaan ini,”katanya.

Selain dari dua matlamat di atas, pihaknya juga akan bekerjasama dalam operasi terbabit dengan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan Jabatan Laut Sarawak untuk memberi tumpuan kepada keselamatan orang ramai ketika mengunakan laluan laut dan laluan sungai di seluruh negeri ini.

“Pihak polis dan agensi berkaitan akan memberi tumpuan kepada pengusaha bot express bagi memastikan keselamatan penumpangnya, bagi memastikan kemalangan sifar di sungai dan dilaut dapat dicapai,” katanya. — DayakDaily