Ops Sarang: Polis cekup 2 lelaki dan 2 wanita disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah

Gambar rampasan dadah.

Oleh Dean Adam

SRI AMAN, Jun 20: Polis menahan dua lelaki dan dua wanita selepas mereka disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi Ops Sarang di sebuah rumah di Marop Atas, Engkilili dekat sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, SUPT Sahar Abdul Latif berkata, keempat-empat suspek yang berusia antara 30 hingga 49 tahun itu ditahan antara pukul 10.30 pagi hingga 2 petang.


Menurutnya, hasil daripada serbuan dan pemeriksaan, pasukan polis berjaya menjumpai 11 paket plastik lutsinar berwarna merah yang setiap satu paket mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu.

“Pasukan serbuan juga menemui 60 paket plastik lutsinar yang setiap satu paket mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu yang disorok di kawasan semak berhampiran rumah tersebut.

“Dalam pada itu juga, polis juga telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan sebelum menjumpai satu bekas plastik warna hitam mengandungi satu paket plastik berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Sahar menambah, dalam serbuan berasingan, pasukan polis telah menahan seramai 10 lelaki dan seorang wanita termasuk seorang penjawat awam kerana disyaki sebagai penagih dadah.

Katanya, kesemua saspek yang ditahan kemudian dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sri Aman untuk tindakan lanjut.

“Nilai rampasan dadah adalah sebanyak RM8,000 dan kes ini disiasat Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya. — DayakDaily