Ops pembenihan awan di Sarawak dijadualkan 19 Sept ini — Wan Azizah

Dr Wan Azizah (kanan) berbual dengan ahli PKR selepas menghadiri perjumpaan bersama MPN Keadilan Sarawak.

KUCHING, 17 Sept: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan tentera udara (TUDM) akan melakukan operasi pembenihan awan di ruang udara Sarawak pada Khamis ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata operasi terbabit diharapkan akan dapat mengurangkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sarawak yang terjejas akibat jerebu.

“Kita akan melihat keadaan (ruang udara Sarawak pada 19 September), kalau ada awan untuk dibenihkan,” katanya selepas menghadiri perjumpaan bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat negeri, di sini, hari ini.


Dr Wan Azizah berkata hujan tidak akan turun walapun sudah dilakukan pembenihan awam, sekiranya ruang udara Sarawak tiada awan pada hari terbabit.

“Hari ini (Isnin, 16 September), pembenihan awan dibuatkan di Putra Jaya, Selangor, Negeri Sembilan Melaka dan Johor dan telah hujan sedikit,” katanya.

Selain itu, beliau juga sudah menghubungi Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, dah telah dimaklumkannya bahawa dilaporkan tiada titik panas dikesan di negara ini pada hari Ahad.

“Jadi (pembakaran terbuka) pada keadaan (jerebu di negara) kita sudah terkawal. Bagi jerebu rentas sempadan, kita hendak semua negara Asean bersetuju bagaimana menanganinya,” katanya, sambil menambah bahawa usaha itu juga akan dilakukan semua negara terbabit secara bersama. — DayakDaily