Operator judi haram bagai ‘cacing kepanasan’, polis terus membuat serbuan

Anggota polis melakukan serbuan di pusat perjudian haram.

KUCHING, Mei 21: Operator atau ejen perjudian haram di negeri ini bagaikan ‘cacing kepanasan’ susulan serbuan demi serbuan yang dilakukan bagi membanteras kegiatan jenayah itu.

Terbaharu, seramai 30 kaki judi ditahan menerusi 21 serbuan yang dilakukan polis di lapan daerah iaitu Kuching, Padawan, Kota Samarahan, Bau, Sri Aman, Serian, Bintulu dan Miri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak SAC Dennis Leong Soon Kuai berkata, kesemua individu terbabit dicekup dalam serbuan berasingan yang dijalankan antara pukul 2 petang hingga 9 malam tadi.


Jelasnya, semua kaki judi termasuk dua warga asing yang ditangkap itu berusia antara 17 hingga 53 tahun.

“Daripada 30 individu itu, 17 orang merupakan lelaki, manakala selebihnya wanita.

“Polis telah melakukan 14 serbuan melibatkan premis menjual loteri haram dan tujuh lagi serbuan di pusat judi dalam talian,” katanya di sini hari ini.

Dennis menambah, menerusi serbuan itu, pihak polis telah merampas 30 unit telefon bimbit, dua komputer riba, slip pertaruhan dan barangan lain yang dipercayai digunakan dalam jenayah berkenaan.

Katanya, polis juga merampas wang tunai sebanyak RM3,405 disyaki hasil perjudian haram itu.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. — DayakDaily