Operasi taska di kawasan PKP dipertimbang jika terdapat permohonan dari barisan hadapan

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 2 Feb: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak mempertimbangkan pembukaan operasi taska atau tadika di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) jika terdapat permohonan daripada kalangan barisan hadapan.

Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, permohonan hendaklah daripada kalangan doktor dan seumpamanya yang memerlukan perkhidmatan taska untuk anak mereka.

“Kita belum benarkan taska atau tadika beroperasi di kawasan PKP kecuali jika ada keperluan mendesak iaitu permintaan daripada kalangan barisan hadapan.

“Kalau bukan dari kalangan barisan hadapan kita tidak benarkan sama sekali.

“Kelonggaran diberi sebab kita tahu perkhidmatan mereka diperlukan dan mereka juga sangat memerlukan perkhidmatan taska untuk menempatkan anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai mengadakan lawatan ke Tadika Kurnia di sini, hari ini.

Tambah Fatimah, setakat ini, tiada taska atau tadika dibenarkan beroperasi di kawasan PKP seperti di Sibu di mana surat pekeliling PKP tidak membenarkan operasi pusat asuhan kanak-kanak dikeluarkan.

“Kecuali, jika ada keperluan dan mereka perlu membuat permohonan. Kita akan meneliti kesahihan permohonan.

“Bila kita teliti dan mendapati permohonan dari barisan hadapan, kita akan benarkan dan ia dalam rekod kita,” ujar beliau lagi.

Katanya, terdapat satu permohonan tetapi telah ditolak kerana bukan dari barisan hadapan.

Fatimah juga berkata, setakat ini terdapat 264 taska swasta beroperasi di seluruh negeri manakala taska atau tadika milik kerajaan masih ditutup. – DayakDaily