This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 13 Jun: ‘Tiger Platoon’ dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak turut terlibat dalam ‘Op Kesan’ memburu dua suspek yang melarikan diri dari lokap Balai Polis Tapah.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata 110 anggota dan pegawai PDRM terlibat dalam operasi kedua hari ini dengan radius kawasan pencarian diperluaskan.
Katanya, turut membantu dalam operasi ialah Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak dan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara.
“Selain itu, sekatan jalan raya juga dibuat oleh Balai Polis Beratok, Balai Polis Tapah, Balai Polis Siburan, Balai Polis Batu 10 dan Balai Polis Batu Kawa.
“Sekatan jalan raya juga dibuat di daerah bersempadan iaitu di Kuching, Kota Samarahan, Bau, Lundh, Lubok Antu dan Sri Aman,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Suspek yang merupakan warganegara Indonesia terbabit dikenali sebagai Kelvin, 21 dan Bony, 31 dilaporkan melarikan diri dari lokap tersebut sekitar jam 1 petang semalam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menjumpai suspek boleh menghubungi terus Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233 atau mana-mana balai polis berhampiran. — DayakDaily