This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 13 Julai: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak memberkas 324 individu termasuk seorang remaja 14 tahun dalam Op Tapis Khas (10-13 Julai).
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada 303 lelaki dan 21 wanita berusia lingkungan 14 hingga 56 tahun.
Katanya, tangkapan juga melibatkan sembilan individu yang merupakan penagih dadah tegar.
“Sebanyak 163 serbuan dan 364 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh Sarawak termasuk di kawasan PPRT, perumahan, rumah kedai, perkampungan serta pelbagai lagi tempat.
“Hasil serbuan dan pemeriksaan tersebut, seramai 324 orang telah ditangkap di atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini.
Tambahnya, bagi kategori bekalan, seramai 12 orang ditangkap di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan seorang di bawah Seksyen 6B ADB 1952 kerana ditangkap menanam pokok ganja.
Bagi kategori memiliki dadah pula seramai 56 orang ditangkap.
“Manakala seramai 255 orang atau 79 peratus daripada 324 orang yang ditangkap didapati positif pelbagai jenis dadah,” katanya.
Selain itu, beliau berkata turut dirampas adalah 132.04 gram syabu dan 6.03 gram ketamin, menjadikan nilai keseluruhan dadah yang dirampas itu dianggarkan RM48,217.
“Rampasan dadah tertinggi bagi operasi kali ini adalah di Daerah Miri iaitu bernilai RM20,894 diikuti oleh Kuching bernilai RM4,959 dan Padawan bernilai RM3,960 dengan keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 672 orang penagih,” katanya.
Katanya dalam tempoh 1 Jan hingga 30 Jun tahun ini, JSJN Sarawak merekodkan seramai 5,655 orang yang ditangkap, merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM127 juta dan menyita harta bernilai lebih RM3 juta.
Justeru, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah untuk menyalurkan ke Hotline JSJN di 012-2087222. — DayakDaily