Op Selamat Krismas mula hari ini

Supt Alexson Naga Chabu

KUCHING, 22 Dis: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak melancarkan ‘Op Selamat Krismas’ sempena perayaan Hari Krismas bermula hari ini sehingga 28 Disember.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata operasi tersebut dilakukan di seluruh negeri dengan kekuatan anggota seramai 405 orang.

Katanya, terdapat 57 lokasi yang kerap berlaku kemalangan telah dikenalpasti dan akan dilakukan ‘Total Enforcement’ sepanjang operasi itu nanti.


“Ini adalah supaya semua pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati semasa memandu terutamanya pada musim perayaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau selain itu memohon kerjasama semua pihak agar menentukan laluan perjalanan yang selamat dan lancar.

“Justeru kita mohon semua patuhi arah pihak berkuasa dalam mengawal lalu lintas dan pandu dalam kelajuan yang selamat.

“Cuba ambik masa rehat sekiranya dalam keadaan letih serta mengantuk dan sentiasa amalkan sikap bertimbang rasa semasa mengguna jalan raya,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan semua pihak untuk mematuhi SOP (prosedur operasi ‘standard’) pencegahan penularan Covid-19.

“Sentiasa rujuk kepada pihak SDMC (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri) untuk mendapatkan maklumat dan info terkini berkaitan SOP Covid-19 di Sarawak,” katanya. — DayakDaily