OKU Sarawak mohon kerajaan percepat pemberian vaksin

Isak Ngau

KUCHING, 9 Jun: Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Sarawak Isak Ngau memohon agar kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin kepada golongan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini.

Katanya, pemberian vaksin untuk OKU harus dipercepatkan, termasuk untuk ahli keluarga yang tinggal serumah.

“OKU Sarawak dibawah Program Elit yang bakal menghadapi kejohanan di Johor tahun depan juga haruslah disegerakan pemberian vaksin seperti mana yang telah diterima oleh atlet kebangsaan.

“Jurulatih, pengerak, pengiring dan juga pegawai yang terlibat dalam kejohanan ini juga harus diberikan vaksin,” ujar Isak dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau percaya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai butiran OKU di Sarawak dan perkara ini memudahkan JKM untuk mendaftar dan menghubungi OKU berkenaan untuk proses vaksin.


Jelas beliau, semua OKU sudah berdaftar di MySejahtera untuk penerimaan vaksin namun masih lagi belum dipanggil.

Kenyataan Isak turut disokong Presiden Persatuan Anak Istimewa Sarawak (Perais) Rapelson Richard Hamit dan Persatuan Insan Istimewa Daro dan Matu (Idam) Antonie Zawie Demit. — DayakDaily