Oleh Brad Rantayy
MIRI, 20 Jan: Seorang penghantar makanan tidak menyangka, niatnya untuk berehat selepas melakukan penghantaran di Lutong ,membawa kepada penemuan sebuah objek menyerupai bom dipercayai dari era Perang Dunia Kedua (WWII).
Penemuan yang tidak dijangka itu dibuat oleh Mohd Nasri Razali, 28, seorang penghantar makanan Grab sekitar jam 2.30 petang hari ini di pantai Lutong.
“Saya baru sahaja selesai melakukan penghantaran makanan di kawasan Lutong, dan dalam perjalanan balik, saya membuat keputusan untuk berehat sekejap di sini (Pantai Lutong) sebelum menyambung semula tugasan,” ujar Mohd Nasri ketika ditemui di lokasi.
Beliau menambah, sempat mengetuk beberapa kali pada objek tersebut sebelum memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Setelah beberapa kali mengetuk pada objek tersebut, saya segera memaklumkan kepada pihak polis, sebab risau ia boleh tiba-tiba meletup dan ini boleh mendatangkan bahaya, apatah lagi lokasi ini budak-budak selalu bermain,” jelasnya.
Susulan penemuan itu, sekumpulan anggota polis dari Balai Polis Lutong dan Unit Pemusnah Bom IPD Miri telah tiba dilokasi sekitar jam 3 petang tadi.
Objek tersebut telah di bawa keluar dari lokasi.
Difahamkan, pihak polis dan anggota pemusnah unit pemusnah bom membawa objek tersebut ke lapang sasar Lambir di Jalan Miri-Bintulu untuk dimusnahkan.
Anggaran berat objek adalah seberat 3kg.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan penemuan objek tersebut. — DayakDaily