SRI AMAN, Jun 6: Seorang lelaki nyaris maut selepas disyaki minum cecair dipercayai racun serangga secara tidak sengaja di sebuah rumah di Kampung Hilir di sini malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu disedari oleh ahli keluarga mangsa yang berusia 29 tahun tersebut apabila melihat lelaki tiba-tiba rebah dan pengsan.
Panik dengan situasi tersebut, ahli keluarga mangsa kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk tindakan selanjutnya.
Pegawai APM Daerah Sri Aman, Siti Huzaimah Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1 pagi.
Katanya, sejurus menerima maklumat kejadian, sepasukan anggota APM kemudian bergegas ke kampung berkenaan untuk melakukan operasi susulan.
“Apabila tiba di tempat kejadian, anggota APM mendapati mangsa masih dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di ruang tamu kediaman tersebut.
“Anggota APM kemudian memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dia dibawa ke Hospital Sri Aman untuk mendapatkan rawatan perubatan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Huzaimah menambah, berdasarkan keterangan keluarga lelaki itu, mangsa disyaki terminum cecair dipercayai racun serangga.
Katanya, pada mulanya, ahli keluarga cuba membantu, namun menemui jalan buntu sebelum mereka menghubungi pihak APM.
“Buat masa ini, keadaan mangsa dilaporkan stabil,” ujarnya. — DayakDaily