NUJM seru sidang media diadakan secara atas talian

NUJM seru sidang media diadakan secara atas talian/File pix
Advertisement

KUALA LUMPUR, 15 Jan : Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) menyeru supaya semua sidang media samada membabitkan agensi kerajaan mahupun swasta dilakukan secara dalam talian dan menghadkan aktiviti sidang media secara bersemuka.

Presiden NUJM, Farah Mashitah Abdul Patah berkata, Seruan itu susulan beberapa kes positif Covid-19 di kalangan Ahli Parlimen dan menteri Kabinet selain peningkatan kes harian yang mencecah angka lebih 3,000 sejak minggu lalu.

“Pada masa yang sama, NUJM memohon jasa baik semua pihak untuk memberikan kerjasama kepada petugas media ketika dihubungi bagi mendapatkan sebarang komen serta penjelasan membabitkan sebarang isu.

Advertisement

“NUJM juga memohon kerjasama diberikan kepada petugas media dalam membuat liputan di tempat awam, tinjauan serta diberikan pelepasan khas ketika melalui sekatan jalan raya,”katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, perkara tersebut perlu dilakukan dan mendapat kerjasama daripada semua pihak itu bagi memastikan penularan jangkitan dapat dibendung selain membolehkan petugas media menjalankan tugas mereka.

Beliau berkata petugas media juga merupakan antara golongan yang paling terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19 ketika menjalankan tugas, namun, acap kali peranan dan keselamatan mereka diketepikan.

“Jumlah pengamal media yang kini bertugas semakin berkurangan, mereka bukan saja perlu membuat liputan membabitkan isu COVID-19 malah liputan banjir, politik, mahkamah dan juga jenayah.

“Oleh itu, adalah menjadi tugas NUJM untuk memastikan keselamatan serta kebajikan petugas media terjaga supaya maklumat yang terbaik dapat teruskan disalurkan kepada orang ramai,”katanya.

Justeru, NUJM tegasnya ingin mengingatkan semua petugas media supaya sentiasa berhati-hati ketika menjalankan tugas serta sentiasa mematuhi s prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ujarnya, petugas media yang didapati mempunyai gejala jangkitan Covid-19 dinasihatkan untuk segera melakukan ujian saringan di hospital serta mematuhi arahan kuarantin wajib yang diarahkan kepada mereka.-DayakDaily

Advertisement