NSJA menyumbangkan kek perayaan kepada ahlinya sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai

Presiden NSJA Andy Jong Wan Joon

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 11 Mei: Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) mengagihkan sumbangan kek perayaan kepada ahli-ahlinya pada perayaan yang akan datang untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai.

Sambutan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini ternyata berbeza ekoran negara masih dilanda pandemik COVID-19, ujar presiden NSJA Andy Jong Wan Joon.


“Kita perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan semasa musim perayaan dalam keadaan wabak COVID-19 yang masih mengancam ketika ini, dengan tidak mengadakan rumah terbuka dan program ziarah Hari Raya,” beliau berkata.

Ujarnya, ahun ini persatuan tidak dibenarkan untuk mengadakan majlis jamuan perayaan mengikut SOP yang ditetapkan, namun, NSJA mengambil inisiatif mengeratkan silaturahim dengan mengagihkan kek perayaan kepada ahli-ahli NSJA di Miri.

Persatuan Wartawan Utara Sarawak mengagihkan sumbangan kek perayaan kepada 90 orang ahli persatuan pada hari ini,untuk mereka meraikan suasana perayaan yang akan datang.

Pengagihan ini sebagai tanda penghargaan kepada ahli-ahli NSJA yang bertugas pada musim perayaan yang disambut dengan norma baharu, selain mengamalkan kesederhanaan dalam menyambut perayaan pada hari pertama.

Pengamal media yang berada di barisan hadapan terus berdiri di pos mereka semasa pandemik Covid-19 sejak dari tahun lepas dalam usaha untuk menyampaikan maklumat terkini dan sahih kepada golongan masyarakat.

“Pengamal media juga memainkan peranan menyampaikan informasi pencegahan pandemik Covid-19 yang relevan kepada golongan masyarakat, menanamkan dan memperkuat kesedaran dan kewaspadaan masyarakat dalam usaha pencegahan pandemik Covid-19,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau juga mengajak masyarakat untuk bersama-sama membudayakan norma baharu dan mematuhi SOP yang ditetapkan dan memutuskan rantaian Covid-19.

“Memandangkan kes Covid-19harian semakin meningkat, Miri masih kekal sebagai Zon merah, NSJA telah mengambil keputusan untuk mengagihkan face mask kepada ahli ahli demi menjaga kesihatan semasa mereka menjalankan tugas,” Jong berkata.

“Kita akan mengagihkan kepada semua ahli NSJA dalam masa yang terdekat, setelah bekalan face mask sampai,” jelasnya. — DayakDaily