NPRA belum terima dokumen syarikat Pfizer untuk penilaian pendaftaran dan pengujian produk vaksin Covid-19

Covid-19 file pic

KUCHING, 7 Dis: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa sehingga kini, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) masih belum menerima sebarang dokumen daripada syarikat Pfizer untuk penilaian pendaftaran dan pengujian produk vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan itu, tiada sebarang maklumat berkaitan isu masalah pembekalan dos vaksin tersebut sebagaimana yang dilaporkan.

“Walau bagaimanapun, KKM akan sentiasa memantau perkembangan produk vaksin Covid-19 oleh Pfizer dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini,”katanya menerusi satu kenyataan semalam.


Beliau memberi maklumbalas terhadap pertanyaan orang awam mengenai laporan yang dikeluarkan oleh agensi media antarabangsa Reuters bertarikh 4 Disember 2020 bertajuk ā€œPfizer says supply chain challenges contributed to slashed target for Covid-19 vaccine doses in 2020ā€.

Tambah Dr Noor Hisham, adalah menjadi tanggungjawab NPRA, KKM untuk memastikan sebelum sesuatu produk didaftarkan untuk dipasarkan di Malaysia.

Katanya, ia perlu terlebih dahulu melalui proses penilaian dan pengujian berasaskan prinsip-prinsip kualiti, keselamatan dan juga keberkesanan.

“NPRA juga memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin serta ubat-ubatan yang berdaftar sentiasa terjamin melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans.

Pihak KKM akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai dari semasa ke semasa,”ujar beliau. ā€” DayakDaily