Nilai ambang keberhutangan syarikat diwartakan kekal RM50,000

Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Advertisement

KUCHING, 2 April: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengambil inisiatif meningkatkan nilai ambang keberhutangan syarikat kepada RM50,000 secara kekal berkuatkuasa semalam (1 April) sebagai langkah mengurang risko pengulungan syarikat akibat penularan pandemik Covid-19.

Nilai ambang tersebut di bawah Perenggan 466(1)(a) Akta Syarikat 2016 setelah mengambil kira keadaan ekonomi global dan dalam negara yang mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk pulih seperti sebelum pandemik terbabit.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata tindakan pengekalan nilai itu kepada jumlah melebihi RM50,000 berbanding RM10,000 sebelum ini penting bagi meringankan beban dan mengurangkan impak kepada syarikat yang menghadapi masalah aliran tunai daripada tindakan penggulungan.

Advertisement

“Kenaikan nilai ambang keterhutangan syarikat ini dijangka akan terus dapat mengurangkan jumlah petisyen penggulungan dan syarikat mampu meneruskan urusan perniagaan dengan yakin serta masih mematuhi undang-undang berdasarkan relief kekal nilai amaun keterhutangan yang diberikan.

“Jumlah ini dianggap bersesuaian dan jalan tengah yang terbaik di mana ianya tidak terlalu rendah sehingga menyebabkan syarikat diambil tindakan penggulungan oleh mana-mana pemiutang dengan jumlah hutang yang kecil, tetapi tidak terlalu tinggi sehingga menyebabkan pemiutang kecil terbeban akibat tidak boleh mengambil tindakan penggulungan terhadap syarikat tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Nanta berkata kesan pelaksanaan inisiatif ini telah menunjukkan penurunan yang ketara dalam jumlah petisyen penggulungan yang diserah simpan ke SSM dengan hanya 665 petisyen penggulungan diserah simpan bagi tempoh April hingga September 2020 berbanding 1,760 bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

Katanya, penurunan ini sekaligus membuktikan bahawa inisiatif tersebut telah dapat membantu mengekalkan kelangsungan syarikat dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

Tambahnya, SSM sebagai salah sebuah agensi dibawah kementeriannya berharap pelaksanaan inisiatif ini dapat membantu menyokong sektor korporat dalam tempoh pemulihan ekonomi khususnya kepada syarikat yang terjejas semasa penularan wabak Covid-19.

“Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel kepada enquiry@ssm.com.my,” katanya. — DayakDaily

Advertisement