NGO Dayak buat laporan polis mengenai video yang dikatakan telah menghina ngepan Iban

Augustine (berdiri paling kanan) bersama ahli-ahli DBK Miri menunjukan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Pusat Miri hari ini (27 Mei 2021).
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 27 Mei: Komuniti Dayak di daerah ini mendesak pihak kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak berkuasa (polis) untuk mengambil tindakan tegas terhadap seorang pemilik akaun Facebook kerana menghina dan mempersendakan pakaian tradisional kaum wanita Iban baru-baru ini dalam satu klip video.

Jurucakap Dayak Bukit Kelingkang Miri (DBK), Augustine Geraman, berkata tindakan tegas perlu diambil bagi mengelak perkara berkenaan berulang di masa hadapan.

Advertisement

“Kita (Dayak) berasa sangat kecewa dengan video yang dimuat naik oleh [pemilik akaun] di dalam akaun Facebooknya itu yang telah menghina pakaian tradisional kaum Iban,” jelasnya ketika ditemui hari ini selepas selesai membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri.

Beliau mengulas, mereka mahu tindakan sewajarnya dikenakan terhadap individu tersebut.

Augustine menyifatkan tindakan pemilik akaun Facebook itu sebagai tidak sensitif dan menghina kaum Iban.

Baru-baru ini, pemilik akaun itu muat naik satu video di dalam akaun Facebooknya yang telah mencetuskan kemarahan orang ramai, terumatanya kaum Dayak di Sarawak.

Dalam video itu, isterinya yang merupakan warga negara Korea Selatan, dilihat memakai pakaian tradisional tersebut sewaktu ditata rias oleh jurumekap.

Dalam klip video tersebut yang berdurasi lebih seminit itu, pemilik akaun itu menyamakan aksesori pakaian yang dipakai isterinya seperti duit syiling, kain alas kaki, kain alas meja, kain buruk, tikar, langsir dan tali pinggang pengakap.

Video yang telah mengundang kemarahan kaum Dayak itu telah segera dipadamkan pemilik akaun itu, susulan menerima kecaman dari warga netizen. — DayakDaily

Advertisement