Nenek maut dilanggar selepas menghantar cucu menaiki bas sekolah

PDRM logo
Advertisement

KUCHING: Seorang wanita warga emas maut akibat kecederaan yang dialaminya setelah dirempuh kereta ketika melintas jalan selepas menghantar cucunya menaiki bas sekolah di Kampung Bedaun, Jalan Sultan Tengah, di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Bingkok John berkata mangsa, 60 tahun, semasa kejadian bersama anak perempuannya berusia 37 tahun yang turut dilanggar dan mengalami kecederaan patah pinggang.

Katanya, kejadian berlaku ketika mereka sedang menyeberang jalan sekitar jam 6.10 pagi.

Advertisement

“Mangsa dan anaknya merupakan pejalan kaki yang melintas jalan dari kanan ke kiri laluan setelah mangsa menghantar cucunya menaiki bas sekolah di seberang jalan.

“Mereka telah dilanggar sebuah Toyota Avanza yang bergerak lurus dari arah Rampangi menuju ke arah Santubong.

“Mangsa dan anaknya kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan dia telah disahkan meninggal dunia pada jam 10.42 pagi manakala anaknya mengalami patah pinggang dan masih dirawat di HUS dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara pemandu dan penumpang Toyota Avanza tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily

Advertisement