Nasib malang mangsa kebakaran dapat perhatian

Dr Penguang (dua dari kiri) melawat mangsa yang terjejas dan tempat kejadian kebakaran rumah panjang.
Advertisement

MARUDI, Feb 1: Nasib malang yang menimpa 98 penghuni yang hilang tempat tinggal selepas rumah panjang yang didiami mereka di Rumah Langat Anthony Collin, Nanga Majang, Kuala Bok di sini musnah terbakar semalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datu Dr Penguang Manggil hari ini.

Beliau yang juga Menteri Muda Kerajaan Tempatan meluangkan masa melawat mangsa serta menyampaikan bantuan segera berjumlah RM10,500 iaitu RM500 bagi setiap keluarga yang terjejas.

Selain itu, Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau turut menghulurkan bantuan dari segi bekalan makanan dan pakaian kepada mangsa-mangsa terjejas.

Advertisement
Keadaan rumah panjang yang musnah terbakar yang dirakam dari udara.

Pihak Pejabat Daerah Beluru, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Angkatan Tentera Malaysi (ATM) juga telah bertindak memberikan bantuan sejak semalam.

Antara lain, Jabatan Kebajikan Masyarakat mula mengagihkan bekalan makanan mulai hari ini.

Insiden malang itu semalam turut mengakibatkan seorang lelaki warga emas maut dipercayai akibat serangan jantung selepas terkejut dengan kejadian kebakaran yang memusnahkan kediamannya di rumah panjang tersebut.

JBPM mengalami kesukaran untuk pergi ke tempat kejadian memandangkan kawasan rumah panjang itu terletak di kawasan terpencil dan mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan menggunakan bot dari Marudi ke Tinjar.

Buat masa ini, punca kejadian dan jumlah kerugian akibat kebakaran tersebut masih disiasat. — DayakDaily

Advertisement