Nasib malang 255 mangsa kebakaran di Long Peluan dapat perhatian

Gerawat (kanan) bertemu dengan mangsa kebakaran.

BARAM, April 7: Nasib malang yang menimpa 255 mangsa kebakaran di Long Peluan, Ulu Baram di sini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Jala, hari ini.

Beliau meluangkan masa lebih satu jam bagi meninjau keadaan kesemua mangsa yang terjejas.

Dalam kunjungan itu, Gerawat turut menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran tersebut.


Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam pada Jumaat lalu, seramai 255 penduduk rumah panjang berkenaan di sini hilang tempat tinggal dalam sekelip mata selepas kediaman mereka musnah terbakar.

Kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu telah mengakibatkan 21 daripada 31 buah pintu rumah panjang berkenaan terbakar.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pusat gerakan operasi menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 11.30 malam.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Marudi kemudian diarahkan ke lokasi bagi tindakan selanjutnya.

Kelihatan kawasan rumah panjang yang terbakar dari permandangan udara.

“Difahamkan, perjalanan ke tempat kejadian memakan masa kira-kira 10 jam.

“Pasukan bomba terpaksa menggunakan jalan balak ke rumah panjang berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, berdasarkan maklumat awal yang diterima, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Katanya, terdapat dua kenderaan pacuan empat roda dan tiga motosikal turut musnah terbakar dalam kebakaran tersebut.

“Setakat ini, punca kejadian serta jumlah kerugian masih belum diketahui,” ujarnya. — DayakDaily