KUCHING, 21 Sept: Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak berkompromi terutamanya di dalam aspek yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna.
Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, ia penting untuk sentiasa memastikan bahawa kesejahteraan pengguna terus terpelihara.
“Kementerian sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kimia Malaysia dalam tindakan penguatkuasaan yang memerlukan penghantaran sampel barang kes seperti produk petroleum dan barangan kawalan lain di bawah Akta Kawalan Bekalan 972.
“Minuman beralkohol yang melibatkan barangan tiruan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 serta sampel makanan yang secara khususnya terdapat ruang kecil bagi peruntukan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Pelindungan Pengguna 1999,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Nanta menjawab soalan Senator Datuk Paul Igai yang bertanya tentang peranan KPDNHEP berhubung perkara tersebut.
Tambah beliau lagi, peranan dan kerjasama dengan Jabatan Kimia Malaysia sangat penting dalam memastikan kesahihan sesuatu kandungan makanan tersebut.
Katanya, ia sebagai keterangan yang akan digunakan oleh pegawai penyiasat dalam mengambil tindakan pendakwaan dan seterusnya memastikan pengguna dilindungi.
Menurut Nanta lagi, di bawah Akta Perihal Dagangan, perkara yang biasanya disiasat adalah berkaitan perihal dagangan palsu di bawah Sekyen 5 dan Seksyen 6 Akta.
“Antara contoh siasatan yang dibuat adalah berkaitan tularnya telur ayam yang didakwa telur tiruan serta beras atau beras pulut yang dikatakan plastik.
“Sampel barangan tiruan yang berkaitan minuman keras juga dihantar kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk mengesahkan bahawa minuman yang disita mengandungi alkohol,” ujar beliau.
Selain daripada itu, jelas Nanta, sampel makanan yang dihantar juga melibatkan siasatan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, iaitu siasatan yang melibatkan aspek halal dalam makanan.
Katanya, sampel akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi mengesahkan samada sesuatu makanan tersebut mengandungi bahan yang tidak halal dimakan oleh orang Islam seperti alkohol dan daging khinzir.-DayakDaily