Nanta: SPKF bantu golongan muda ceburi industri francais

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 23 Nov: Kerajaan menyediakan Skim Pinjaman Kecil Francais (SPKF) yang menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000 bagi membantu kemasukan golongan muda ke dalam industri francais.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, skim tersebut memberi peluang kepada mereka untuk menceburi bidang perniagaan dengan menjalankan perniagaan francais mikro dan mampu milik yang ditawarkan oleh francaisor.

“KPDNHEP berpandangan bahawa masih terdapat banyak ruang dan peluang untuk mengembangkan industri francais bukan sahaja di Negeri Sarawak bahkan di seluruh negara.

“Kementerian akan terus mempergiatkan lagi aktiviti mempromosikan dan membangunkan industri francais ini di peringkat domestik dan antarabangsa,”katanya.

Nanta berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan MP Betong Datuk Robert Lawson Chuat pada mesyuarat Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga MP Kapit memberitahu dewan bahawa terdapat sembilan buah syarikat francaisor yang berasal dari negeri Sarawak serta memiliki 98 buah outlet di seluruh Malaysia.

Daripada jumlah tersebut katanya, 83 buah outlet beroperasi di Sarawak.

“Salah satu daripada jenama francais Sarawak iaitu SugarBun, juga telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa melalui 11 buah outlet di luar negara iaitu di Brunei dengan sembilan buah outlet dan masing-masing sebuah di Australia dan Bangladesh,” ujar beliau.

Selain itu, tambah Nanta, terdapat lapan francaisor lain daripada jenama tempatan dan antarabangsa yang membuka 16 outlet di Sarawak.

Menurut beliau, industri francais di Sarawak telah mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat dan menyumbang kepada peningkatan taraf sosio ekonomi rakyat setempat.

Jelas Nanta, KPDNHEP giat membuat promosi secara berterusan bagi membangkitkan kesedaran dan penglibatan usahawan muda dalam bidang francais.

“Siri Jelajah Francais Bay yang diadakan di seluruh negara turut digerakkan untuk menggalakkan penyertaan masyarakat, golongan usahawan, serta para pelajar IPTA dan IPTS,” katanya. — DayakDaily