Nanta: Sektor perdagangan pengedaran tidak perlu surat kebenaran beroperasi CIMS lagi

Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Advertisement

KUCHING, 11 Okt: Semua perniagaan dalam sektor perdagangan pengedaran di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak lagi memerlukan surat kebenaran beroperasi melalui Sistem Covid-19 Information Management System (CIMS).

Menteri KPDNHEP Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata hal ini berikutan pengumuman Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri Yaakob semalam (10 Okt) memberi kebenaran merentas negeri bagi Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Katanya, kebenaran merentas negeri ini dilihat sebagai satu lagi langkah positif Kerajaan ke arah merancakkan pemulihan ekonomi negara terutama ekonomi domestik dan khususnya sektor pengedaran dan peruncitan.

Advertisement

“Sebagai makluman, sektor pengedaran dan peruncitan telah dibuka sepenuhnya, namun masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam membendung penularan Covid-19.

“Sehubungan dengan itu, KPDNHEP ingin mengumumkan bahawa semua perniagaan dalam sektor perdagangan pengedaran di bawah seliaan KPDNHEP tidak lagi memerlukan surat kebenaran beroperasi melalui Sistem Covid-19 Information Management System (CIMS).

“Walau bagaimanapun, setiap sektor masih lagi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) semasa, terutamanya bagi negeri-negeri yang masih di dalam PPN Fasa 2 dan 3,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nanta turut memberitahu sektor perdagangan pengedaran merupakan antara aktiviti ekonomi utama dalam negara dan telah menyumbang sebanyak 16 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM311.6 bilion nilai jualan pada suku kedua 2021.

Pada masa yang sama, Nanta menasihatkan pengguna dan peniaga untuk menjadi pengguna bijak dan berhemat dalam berbelanja dengan melaksanakan strategi pembelian seperti merancang pembelian, lokasi dan waktu pembelian bagi memaksimakan penjimatan.

“Utamakan kualiti dan sentiasa membuat perbandingan harga dan membeli dari premis yang menawarkan harga yang berpatutan,” katanya lagi.

Katanya, untuk memastikan premis-premis perniagaan dan orang ramai terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mencegah penularan wabak Covid-19, pegawai penguatkuasa KPDNHEP akan meneruskan pemeriksaan dan penguatkuasaan pematuhan SOP menerusi Ops Samar di mana pegawai penguatkuasa akan berpakaian biasa (tidak berpakaian seragam). — DayakDaily.

Advertisement