Nanta: Ops Catut 8.0 kawal harga ayam mulai 15 April

Datuk Sri Alexander Nanta Linggi — file pic

KUCHING, 18 April: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melaksanakan Ops Catut 8.0 terhadap bekalan ayam bermula pada 15 April, 2021.

Menurut Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, ia susulan beberapa kes kenaikan harga ayam yang dikesan baru-baru ini di sekitar Kuala Lumpur.

“Sehingga 16 April, 2021, sejumlah 24 notis telah dikeluarkan kepada pemborong dan 16 notis kepada penternak yang disyaki mencatut.


“Hasil analisa awal juga mendapati bahawa harga makanan ternakan yang terdiri dari soya dan jagung yang kebanyakannya diimport dari negara Argentina dan Brazil telah merekodkan kenaikan.

“Ini telah menjejaskan harga ayam dalam rantaian bekalan dan peringkat ladang ke pemborong, peruncit dan pengguna,” kata Nanta dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, KPDNHEP telah menerima 15 aduan berkaitan harga ayam, daging (1) ikan (15) dan sayur (2) di seluruh negara sejak puasa bermula.

Manakala tiada aduan diterima berkaitan kekurangan bekalan ke atas ayam, daging, ikan dan sayur.

Sementara itu jelas Nanta, semakan terhadap dakwaan mengenai isu yang tular di Facebook berkaitan paparan harga ikan, ayam dan daging lembu yang dikatakan tinggi di aplikasi PriceCatcher KPDNHEP di sekitar Kuala Lumpur yang dikatakan tinggi didapati kurang tepat.

Katanya, ia menggambarkan situasi sebenar kerana maklumat yang ditularkan tidak menerangkan harga di semua tempat.

“Paparan harga Aplikasi PriceCatcher disusun mengikut premis dan lokasi serta harga dari terendah kepada tertinggi.

“Ini bertujuan untuk memudahkan pengguna untuk membandingkan harga yang ditawarkan oleh semua premis yang berdekatan dengan lokasi pengguna selain membantu pengguna untuk merancang perbelanjaan dengan lebih bijak,” ujar Nanta.

Oleh itu jelas beliau, adalah kurang tepat untuk membuat rumusan bahawa harga hanya berdasarkan satu premis tertentu sahaja.

“Aplikasi Price Catcher memberikan opsyen kepada pengguna untuk memilih dan seterusnya menjadi pengguna bermaklumat, peka dengan hak dan bijak memilih serta berani bertindak kendiri demi mempertahankan hak pengguna,” katanya. — DayakDaily