Nanta harap Kerajaan Sarawak pertimbang pemberian subsidi kepada pengusaha ladang ayam

Nanta (dua dari kanan) pada lawatan ke Ladang Ayam CCK di kampung Buso, Bau.

BAU, 26 Feb: Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi berharap Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan cadangan Persatuan Penternak Binatang Peliharaan Sarawak berhubung pemberian subsidi.

Menurut Nanta, cadangan pemberian subsidi itu adalah bagi membantu kelangsungan industri dan memastikan bekalan bekalan ayam dan telur di pasaran.

“Cadangan ini telah disuarakan oleh penggiat industri pada satu sesi libat urus bersama kementerian yang diadakan pada 2 hari lepas.


“Bagi saya, terpulang kepada Kerajaan Sarawak untuk membuat keputusan. Kalau ada, ia boleh menjamin kelangsungan industri dan bekalan ayam termasuk telur di pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada lawatan ke Ladang Ayam CCK di Kampung Buso di sini, hari ini.

Menerusi sesi libat urus tersebut tambah Nanta, pengusaha ladang ayam masih menghadapi masalah walaupun kerajaan pusat telah menyediakan subsidi dengan peruntukan lebih RM500 juta.

“Oleh kerana kerajaan telah menetapkan harga maksima di peringkat ladang, borong dan runcit, kita masih mendengar keluhan daripada para pengusaha.

“Mereka mengatakan bahawa masalah besar adalah kenaikan kos operasi di peringkat ladang walaupun telah diluluskan oleh kerajaan subsidi dengan peruntukan RM500 juta.

“Masalah lain bukan sekadar kos makanan ayam yang kebanyakan perlu diimport dari negara luar, terdapat juga isu lain seperti tenaga kerja,” ujar Nanta. — DayakDaily