Oleh Chris Bishop
KUCHING, 22 Feb: Sarawak mencatat jualan berjumlah RM1.5 juta menerusi platform e-kraf bazar bagi tempoh April 2020 sehingga Januari 2021.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Seri Nancy Shukri, nilai jualan dalam tempoh tersebut dijana oleh 140 usahawan kraf.
“Manakala menerusi Platform Craft On The Go kita ada 86 usahawan kraf dan untuk MYCraftShoppe kita ada 39 usahawan kraf wanita dengan jumlah keseluruhan produk adalah 696 unit.
“Ia amat menggalakan, terdapat 1,051 usahawan di Sarawak dengan 766 tenaga kerja. Ini penting kerana ia menyediakan peluang pekerjaan,” katanya dalam sidang media pada lawatan ke Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKMM) Cawangan Sarawak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nancy berkata Motac pada tahun lepas telah melahirkan 2,198 komuniti kraf melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).
Katanya, ia bagi membantu penduduk-penduduk kampung yang terjejas oleh pandemik Covid-19 dengan melibatkan mereka di dalam pemasaran digital e-kraf bazar.
“Motac baru-baru ini juga telah melahirkan 20 usahawan terutama di kalangan anak muda di Ba’Kelalan yang terlibat menghasilkan batik eco-friendly,” ujar Nancy.
Kraftangan Malaysia memperkenalkan inisiatif pemasaran e-kraf bazar di Facebook bermula 8 April, 2020 lalu dengan memasarkan produk kraf daripada usahawan tekstil, hasil rimba, seramik, logam dan aneka kraf.
Pada lawatan hari ini, Nancy dibawa melihat pelbagai aktiviti demonstrasi produk kraf oleh usahawan kraf Sarawak.
Ia melibatkan pembuatan perabot taman dari kayu belian, pembuatan sarung dan mata parang, penghasilan batik linut serta penghasilan pelbagai produk kraf dari anyaman rotan. — DayakDaily