Muhyiddin: PKP, PKPB dan PKPP dilaksanakan di beberapa negeri mulai 13 Januari

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 11 Jan: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari yang melibatkan tiga peringkat akan dilaksanakan bermula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bagi mengekang fenomena kes harian empat digit bagi Covid-19 direkodkan setiap hari.

Katanya, rekod tertinggi harian telah dilaporkan pada 7 Januari 2021, iaitu sebanyak 3,027 kes.

“Perintah ini melibatkan tiga peringkat pelaksanaan. Pertama, PKP ke atas enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

“Kedua, PKP Bersyarat (PKPB) ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Ketiga, PKP Pemulihan (PKPP) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut,” kata Muhyiddin pada Perutusan Khas Pelaksanaan PKP hari ini.

Jelas beliau, negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum.

Katanya, KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.

Muhyiddin turut memaklumkan bahawa aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan adalah tidak dibenarkan sama sekali.

“Bagaimanapun bagi negeri-negeri di bawah pelaksanaan PKPP, aktiviti sosial adalah dibenarkan, tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat.

“Pergerakan rentas negeri adalah tidak dibenarkan di seluruh negara manakala bagi kawasan PKP, pergerakan rentas daerah juga tidak dibenarkan,” ujar beliau.

Malaysia mula merekodkan kes harian empat digit bagi Covid-19 pada 24 Oktober 2020, iaitu sejumlah 1,228 kes.

Di dalam gelombang ketiga ini yang bermula pada 20 September 2020, sejumlah 476 kluster baharu dilaporkan sehingga 10 Januari 2021 melibatkan 259 kluster (54.41 peratus) tempat kerja. — DayakDaily