MRP-PPRMS sasarkan 70 rumah penduduk miskin dibaikpulih di Batu Kitang

Lo (empat dari kiri) memberikan sumbangan barangan kepada Ani (dua dari kanan) sebagai simbolik penyerahan projek membaikpulih rumah usangnya yang sudah siap dibawah MRP-PPRMS di Kampung Bumbok, Batu Kitang.

KUCHING, Mei 30: Keseluruhannya sebanyak 70 buah rumah penduduk miskin yang usang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang disasarkan dibaikpulih dibawah Projek Kecil Luar Bandar-Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (MRP-PPRMS) tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang mendedahkan dalam fasa 1 MRP-PPRMS bagi DUN Batu Kitang sudah sebanyak 35 buah rumah siap dibaikpulih sehingga April tahun ini dan telah menelan kos sebanyak RM500,000.

“Manakala selepas ini sebanyak RM500,000 akan dibelanjakan bagi (fasa 2) kerja membaikpulih lebih 30 buah rumah lagi dibawah projek program terbabit di DUN Batu Kitang. Saya sehubungan itu berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mengilhamkan dan memulakan projek program ini,” katanya selepas majlis penyerahan projek program itu yang sudah disiapkan kepada empat penerimanya di Kampung Bumbok, Jalan Batu Kitang, di sini, hari ini.


Empat penerima projek program itu di kampung itu yang sudah dibaikpulih samada bumbung, siling, lantai, dinding, tandas, pintu dan tingkap rumah mereka ialah Ani Nois, Peet Jotem, Beer Katut dan Kumeh Lojap.

Lo berkata dibawah MRP-PPRMS, setiap kawasan ADUN Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menerima RM1 juta dari kerajaan negeri bagi membaikpulih rumah usang penduduk miskin dengan kerja membaikpulih setiap rumah terbabit sebanyak RM15,000.

“Saya suka melakukan projek program ini kerana kami sebagai ADUN GPS dapat membantu golongan miskin dikawasan masing-masing dan membawa kegembiraan kepada mereka, walaupun kerja membaikpulih rumah mereka hanya sebanyak RM15,000 sahaja,” katanya.

Dari sebanyak 35 buah rumah sudah dibaiki dalam fasa 1 projek program itu, sebanyak empat rumah masing-masing terletak di Kampung Paya Mebi, Kampung Sebuak, Kampung Landeh, Kampung Bumbok, Kampung Haji Baki, Kampung Batu Kitang, Kampung Bunga Rampai dan Kampung Lidah Tanah.

Manakala satu rumah masing-masing terletak di Kampung Dangak, Kampung Sinar Baru dan Jalan Batu Kitang dengan kerja membaikpulih rumah terlibat dilakukan kontraktor ataupun secara bergotong-royong dengan penduduk kampung.

Fasa 2 program terbabit akan fokus kepada rumah usang penduduk miskin yang tidak dalam fasa 1 termasuklah Kampung Betong, Kampung Sandong, Kampung Tematu, Kampung Semaba, Kampung Bukit Panchor dan Kampung atau kawasan Jalan Batu Kitang.

Penerima projek program terbabit dipilih oleh satu jawatankuasa ditubuhkan Pusat Khidmat N.13 Batu Kitang dan ketua kampung seta ahli jawatankuasa kampung juga membantu mengenalpasti dan memilih penerima. — DayakDaily