MPP: Tiada kompromi untuk premis makanan yang kotor

Lo meletakkan kertas menunjukkan 'Gred B' pada dinding sebuah kedai kopi di Kota Sentosa.

KUCHING, April 11: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) tidak akan teragak-agak mencadangkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri untuk menutup mana-mana premis makanan di dalam kawasan seliaannya yang didapati kotor.

Pengerusinya, Lo Khere Chiang menegaskan ia bagi memastikan semua premis makanan di dalam kawasan MPP adalah bersih sepenuhnya sama ada dari aspek makanan dan dapur, termasuk tandas.

“Kebersihan premis makanan adalah keutamaan MPP dan kami akan sentiasa menjalankan pemeriksaan ke atas premis makanan untuk memastikan ia sentiasa bersih tanpa ada tikus dan lipas,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pemeriksaan mengejut ke beberapa premis makanan di Kota Sentosa, di sini hari ini.

Menurut Lo, Bahagian Kesihatan MPP akan menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa dan meletakkan Gred A, B atau C ke atas setiap premis makanan mengikut tahap kebersihan.

Katanya bagi premis makanan yang mendapat Gred C, ia akan diberikan amaran untuk mempertingkatkan tahap kebersihan dalam tempoh sebulan.

“Dulu, premis makanan yang mendapat gred A, B, C dan D masih boleh beroperasi tetapi sekarang polisi kerajaan menetapkan hanya Gred A dan B sahaja.

“Tapi sekarang premis Gred C yang didapati gagal mematuhi amaran ditetapkan akan ditutup, di mana kami akan mencadangkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri untuk mengambil tindakan,” katanya.

Lo berkata terdapat sebanyak 550 premis makanan di dalam kawasan MPP pada masa ini, dengan 170 daripadanya adalah Gred A, 374 Gred B dan 6 Gred C. — DayakDaily