MPP sedia hadapi kemungkinan banjir

Lo (tiga dari kiri) pada Penyerahan Projek Menaiktaraf Gelanggang Bola Keranjang SJK Chung Hua Batu 8 kepada Dewan Serba Guna.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 3 Jan: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir pada musim tengkujuh ini.

Menurut Pengerusinya Lo Khere Chiang tumpuan diberikan di kawasan yang kerap dilanda banjir seperti di Rantau Panjang, Sinar Budi dan Batu Kitang.

Katanya, MPP akan memberi kerjasama erat kepada semua agensi yang terlibat yang diketuai oleh pejabat Residen.


“Untuk banjir kita ada satu organisasi yang diketuai oleh pejabat Residen dan semua agensi atau pejabat terlibat akan membantu termasuk MPP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Penyerahan Projek Menaiktaraf Gelanggang Bola Keranjang SJK Chung Hua Batu 8 kepada Dewan Serba Guna di sini, hari ini.

Tambah Lo yang juga ADUN Batu Kitang, penduduk memang telah ambil maklum berhubung tindakan yang harus diambil jika berlaku banjir di kawasan masing-masing.

Jelas beliau, pusat pemindahan sementara seperti dewan, masjid dan surau di setiap kampung telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Bagi kawasan Batu Kitang dan Batu Kawa, kita telah menyediakan satu bot berserta enjin untuk keperluan pemindahan penduduk,” katanya.

Mengulas mengenai penyerahan projek, Lo berkata, ia dilaksanakan dengan kos RM150,000 dan dijadualkan siap dalam tempoh 4 bulan. — DayakDaily