MPP rancang baik pulih 44 rumah KIR miskin pada 2021

Lo (tiga dari kiri) bergambar bersama pemenang-pemenang pertandingan. Turut kelihatan Jong (dua dari kiri).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 30 Dis: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) akan membaik pulih 44 rumah ketua isi rumah (KIR) miskin pada 2021.

Pengerusinya Lo Khere Chiang berkata, ia sebagai meneruskan program menyediakan kediaman yang selesa dan selamat kepada KIR.


Katanya, sejak 2016 sejumlah 114 rumah KIR miskin dalam kawasan seliaan MPP telah dibaik pulih.

“Setiap rumah akan diberikan peruntukan maksimum RM15,000 untuk membaik pulih bahagian atap, dinding, tingkap, tangga, bilik air serta siling.

“Kita telah mengenalpasti semua 44 rumah dan program baik pulih akan dilaksanakan pada 2021,” katanya ketika ditemui di Bangunan MPP hari ini.

Menurut Lo, MPP telah menerima peruntukkan RM1.7 juta daripada kerajaan persekutuan sejak 2016 di bawah Program Pembasmian Kemiskinan
Bandar (PPKB) Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Lo ketika ditemui di Padawan hari ini (Dis 30, 2020).

Di samping itu katanya, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM1 juta setahun kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk
tujuan yang sama.

“Ini adalah satu program yang bagus kerana ia memberi manfaat terus kepada golongan miskin.

“Melalui program ini, saya yakin setiap keluarga di kawasan Padawan tidak lagi menghadapi masalah bumbung bocor,” ujar Lo yang juga Adun
Batu Kitang.

Program bantuan baik pulih rumah daif ini adalah untuk keluarga miskin yang berdaftar dalam e-Kasih dan KIR yang ingin memohon bantuan ini perlu mematuhi beberepa kriteria.

Antara kriteria yang perlu dipatuhi ialah KIR telah berdaftar dan disahkan status kemiskinan dalam e-Kasih dengan Pejabat Daerah.

KIR menetap di dalam kawasan operasi pihak berkuasa tempatan (PBT), rumah yang didiami dalam keadaan rosak, usang dan daif serta memiliki tanah atau rumah sendiri.

Borang permohonan bantuan ini boleh diperolehi daripada MPP dan permohonan boleh dikemukakan kepada MPP.

Bagi maklumat lanjut, sila hubungi Bahagian Penilaian dan Pencukaian MPP menerusi talian 082-615566.

Terdahulu, Lo telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Keceriaan Landskap Kategori Pra-Sekolah dan Tadika 2020.

Pada pertandingan itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Pangkalan Baru muncul pemenang pertama mengalahkan 13 sekolah lain.

Guru Besar Jong Siaw Hui hadir untuk menerima hadiah yang berupa wang tunai RM3,000 serta trofi dan sijil. — DayakDaily