MPKKP senjata untuk tawan Sarawak, kata Abang Johari

Abang Johari berucap di Majlis Penangguhan Fiesta Satok 3.0 di Kuching.
Advertisement

KUCHING, Okt 27: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) adalah senjata Pakatan Harapan (PH) untuk menawan Sarawak.

Beliau menyatakan demikian sebagai memetik kenyataan seorang pemimpin PH pada Konvensyen Tahunan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Ke-19, 2019 di Miri hari ini.

“Sebentar tadi saya ada baca yang dia kata kita (PH) boleh menawan Sarawak dan MPKKP adalah senjatanya.

Advertisement

“Ini cakap orang Malaya dan dia mahu tawan Sarawak mengunakan MPKKP. Maka rahsia sebenar tujuan pembentukan MPKKP telah terbongkar.

“Ini bermaksud ia sebagai senjata untuk memecah-belahkan rakyat supaya mereka boleh mengambil alih,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Fiesta Satok 3.0 2019 di Dewan Masyarakat Sungai Maong di sini, sebentar tadi.

Justeru, Abang Johari mengingatkan semua rakyat agar menjaga Sarawak dengan baik kerana disinilah tempat tinggal mereka.

“Kita tidak mahu rakyat kita berpecah dan kita sudahpun mempunyai undang-undang yang baik.

“Dia selalu kata Sarawak memiliki rizab yang besar dan itulah yang dimahukannya,” katanya.

Jika PH berkuasa, ujar Abang Johari lagi, sumber kekayaan minyak dan gas Sarawak akan diambil dan kedua PH akan ubah undang-undang Sarawak.

“Nanti dia akan perkenalkan undang-undang tanah yang baharu dan disitulah nanti kita akan sedar,” tegas Abang Johari.

Dalam ucapan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada Konvensyen Tahunan DAP Sarawak Ke-19 hari ini, berita portal Dayak Daily versi English memetik Lim sebagai berkata, penubuhan MPKKP adalah untuk menawan Sarawak.

Lim yang juga Menteri Kewangan menegaskan yang PH akan melakukan yang terbaik untuk mengambil alih Sarawak pada Pilihanraya Negeri Ke 12 nanti.

Katanya, salah satu persediaan untuk mencapai matlamat itu adalah dengan penubuhan lebih 6,000 MPKKP di seluruh negeri.  — DayakDaily.

Advertisement