MP Stampin — Ombudsman for Financial Services memihak bank, bercanggah dengan tujuan penubuhan

Chong Chieng Jen

KUCHING, 20 Feb: Keputusan Ombudsman for Financial Services (OFS) yang sering memihak kepada pihak Bank dalam kes bank scam bercanggah dengan tujuan asal penubuhannya, kata Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen.

Dalam perbahasan di Parlimen hari ini, beliau memaklumkan hampir 90 peratus daripada keputusan kes-kes rujukan kepada OFS adalah adalah memihak bank.

“Ini memang bercanggah dengan tujuan kita mewujudkan OFS ini yang sepatutnya menguruskan resolusi pertikaian antara bank dan pelanggan bank dan memberi perlindungan kepada pelanggan bank,” katanya.


Tambah Chong, beliau telah merujuk 10 kes berkenaan kepada Kementerian Kewangan dengan harapan bahawa Kementerian akan buat intervensi dan siasatan yang lebih mendalam.

Katanya, ini adalah supaya agar mangsa-mangsa scam itu boleh terima ganti rugi atau pampasan atas wang yang “dicuri” dari akaun-akaun bank mereka.

“Malangnya, sampai hari ini, belum ada apa-apa hasilan. Di antara 10 orang mangsa itu, ada yang tak pernah muat turun apa-apa malware tetapi wang dalam akaun bank mereka masih dipindah ke akaun orang lain tanpa kebenaran dan pengetahuan mereka.

“Ada yang cuba beli barang melalui iklan di atas Facebook, walaupun selepas mereka sedar tentang transaksi penipuan itu, mereka respond hampir dengan serta merta dengan menghubungi bank mereka masing-masing, tetapi bank masih tidak dapat manghalang atau mengelakkan transaksi itu,” kata Chong.

Menurut beliau lagi, mangsa-mangsa juga telah membuat laporan polis tetapi pihak polis tolak kepada bank untuk buat siasatan.

Semasa mangsa-mangsa mengadu ke bank katanya, bank pula tolak kepada polis.

“Padahal, kedua-dua pihak bank dan polis harus mengambil tindakan yang tegas terhadap perkara ini. Mangsa-mangsa itu merujuk kepada Bank Negara, Bank Negara pun tidak buat apa-apa.

“Kesemua mangsa ini bukan orang kaya, mereka bekerja berpuluh-puluh tahun, berjimat untuk dapat sedikit wang simpanan.

“Tiba-tiba, dalam satu hari, wang simpanan mereka semua hilang,” ujar Chong. — DayakDaily