MP Julau mohon kerajaan segerakan kemudahan tambahan ATM

Datuk Larry Sng

KUCHING, 26 SEPT: MP Julau Larry Sng mohon kerajaan segera menyediakan mesin pengeluaran automatik(ATM) untuk kemudahan rakyat di kawasannya.

Menurut beliau, kawasan parlimen Julau pada masa sekarang hanya memiliki satu kemudahan ATM iaitu di Julau dan ia adalah tidak mencukupi.

“Kemudahan ATM sememang satu keperluan mendesak di Julau dan Pakan kerana pada masa sekarang hanya ada satu ATM di Pekan Julau.


“ATM tersebut selalu kekurangan duit dan rosak. Ini menyebabkan penduduk menghadapi masalah kerana terpaksa ke Sibu Jaya untuk mengeluarkan duit termasuk bantuan kerajaan dengan masa perjalanan 40 minit.

“Di Pakan, tiada langsung kemudahan ATM dan pilihannya adalah ke Sarikei dengan masa perjalanan 40 minit,” katanya kepada DayakDaily.

Tambah Larry, perkara ini telah dibangkitkan di sidang parlimen dan menteri bertanggungjawab telah menjawab akan menambah satu ATM di setiap kawasan parlimen.

Walaupun demikian katanya, permohonan untuk mendapatkan 2 kemudahan tambahan ATM oleh Bank Rakyat untuk kawasan parlimen Julau telah dihantar kepada kementerian.

“Bank Rakyat sudah memaklumkan, menteri pun sudah menjawab bahawa setiap kawasan parlimen akan ditambah satu ATM.

“Saya mohon dua, tetapi mereka kata hanya satu dan ia sama ada akan disediakan di Julau atau Pakan,” katanya.

Pada April lepas, tular di media sosial suasana penduduk di Julau yang terpaksa berdiri dan berbaris berjsam-jam di bawah matahari terik menunggu giliran masing masing di ATM. — DayakDaily