MP Igan gesa kerajaan tangani segera masalah capaian Internet di luar bandar Sarawak

Ahmad Johnie Zawawi (file pic)

KUCHING, 21 SEPT: MP Igan Ahmad Johnie Zawawi menggesa kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengambil tindakan pantas agar masalah capaian Internet di kawasan luar bandar di Sarawak dapat ditangani segera.

Katanya, kemudahan capaian Internet sudah menjadi satu keperluan utama dalam menjalankan aktiviti dan kehidupan seharian, apa lagi ketika pandemik Covid-19.

“Malangnya liputan Internet terutama di luar bandar di Sarawak, termasuk di kawasan P207 Igan masih lagi mendukacitakan.

“Isu liputan Internet yang lemah bukan perkara baharu di kawasan saya. Ia menjadi rungutan harian di kalangan usahawan ‘online’, guru-guru dan pelajar yang terlibat dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Malah isu mengenainya pernah viral di (kawasan) Parlimen saya baru-baru ini, apabila tiga pelajar di Kampung Sawai, Matu, terpaksa mengikuti PdPR di dalam bot di Sungai Sawai, dalam keadaan hujan lebat untuk mendapatkan liputan Internet,” katanya semasa perbahasan di sidang Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Johnie berkata KKMM juga harus ingat bahawa pembinaan menara telekomunikasi sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah liputan Internet jika syarikat telekomunikasi enggan menyediakan perkhidmatan.

Justeru beliau mahu isu ini perlu ditangani bersama oleh pihak KKMM dan syarikat telco yang sepatutnya menyediakan perkhidmatan.

Berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dimasukkan di dalam Memorandum Persefahaman seperti yang disepakati oleh kerajaan dan Pakatan Harapan, beliau berkata ia wajar diberi keutamaan dan menjadi agenda yang penting.

“Oleh itu, saya memohon kepada menteri yang bertanggungjawab supaya isu-isu yang tertunggak dan belum selesai dapat diselesaikan secara tuntas atau dengan izin “once and for all”.

“MA63 merupakan asas kepada Perlembagaan Persekutuan 1963 dan asas kepada pembentukan 5 Persekutuan Malaysia.

“Asas ini harus dihormati agar semangat federialisme terus kukuh demi mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama,” ujar beliau. — DayakDaily