Motosikal terhumban masuk dalam parit, seorang gadis maut

Kelihatan keadaan di tempat kemalangan.
Advertisement

PADAWAN, Okt 7: Malang menimpa seorang gadis apabila dia menemui ajal, manakala rakannya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas lalu terhumban masuk ke dalam sebuah parit di jalan simpang Kampung Semban di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa, Felicia Freda Gorge, 20, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, rakan mangsa, Ennathasa Lydia Pika, 22, pula hanya mengalami kecederaan ringan

Advertisement

Jelasnya, siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 dikatakan dalam perjalanan ke Kampung Braang Bayur dari Kampung Semban.

“Bagaimanapun sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang Felicia dikatakan secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan terhumban ke dalam parit.

“Kesan kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan maut serta-merta di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, rakan mangsa yang cedera juga dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement