Motosikal bertembung dengan Ford Ranger, seorang lelaki temui ajal

Kelihatan kemalangan melibatkan sebuah Ford Ranger dan motosikal di Kanowit.
Advertisement

KANOWIT, Ogos 1: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger di Nanga Bawan, Jalan Nibong Tada di sini lewat petang semalam.

Kemalangan kira-kira pukul 5.15 petang itu telah mengakibatkan mangsa, Elvis Angie, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, SUPT Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dikatakan dalam perjalanan dari arah Sibu menuju ke Nanga Tada di sini.

Advertisement

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Ford Ranger yang kebetulan bergerak di laluan berkenaan.

“Kesan kemalangan itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan mengalami kecederaan parah.

“Pemandu Ford Ranger yang berusia 48 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, berdasarkan keterangan pemandu kenderaan itu, dia cuba mengelak untuk melanggar mangsa dengan mengelak ke sebelah tepi jalan, namun gagal lalu bertembung dengan motosikal mangsa.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Kanowit untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement