Mordi: Perbaiki SOP panggilan kecemasan MERS 999

Mordi Bimol (gambar fail)

KUCHING, 16 Mac: MP Mas Gading Mordi Bimol menggesa pihak Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) yang berpusat di Kuala Lumpur bagi mengelak kelewatan tindak balas kecemasan berikutan masalah komunikasi.

Selain itu katanya, dicadangkan juga agar mana-mana panggilan kecemasan berkaitan kebakaran yang berlaku di Sarawak disambung terus ke mana-mana balai bomba daerah yang terdekat.

Beliau mengulas berhubung kejadian kebakaran yang berlaku di Taman Goldhill Bau yang berlaku pada 13 Mac 2022 lalu.


“Panggilan kecemasan 999 yang dibuat oleh jiran mangsa diterima oleh pihak MERS yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

“Menerusi maklumat aduan yang dibuat jiran mangsa kepada pihak MERS, operator yang menjawab panggilan memutuskan untuk menghantar pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Serian.

“Sedangkan jiran mangsa sudah pun memaklumkan untuk meminta pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau dihantar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh sebab itu tambah Mordi, adik ipar mangsa terpaksa bergegas ke Balai Bomba dan Penyelamat Bau untuk mendapatkan bantuan secara terus.

Pihak Balai Bomba dan Penyelamat Bau juga telah memaklumkan kepada pihak Balai Bomba dan Penyelamat Serian untuk tidak meneruskan perjalanan mereka.

“Kejadian yang berlaku disedari pada waktu pagi 8:45 pagi mendapat perhatian jiran mangsa kebakaran untuk membuat panggilan kecemasan pada pukul 8:55 pagi dan mendapat respon daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bau yang tiba pada pukul 9:10 pagi,” ujarnya. — DayakDaily