MKM: 1,032 koperasi kini beroperasi di Sarawak

Professor Datuk Mohd Yusof Kasim
Advertisement

KUCHING, Jan 30: Maktab Koperasi Malaysia (MKM) mendedahkan Sarawak ketika ini sudah mempunyai keseluruhannya sebanyak 1,032 koperasi dan seramai 320,000 orang penduduk negeri sebagai ahli koperasi terbabit.

Pengerusi Lembaga Pengarah MKM, Professor Datuk Mohd Yusof Kasim berkata demikian dan juga mendedahkan rekod pihaknya sehingga pertengahan tahun lepas mendapati koperasi di negeri ini keseluruhannya memiliki asset mencecah RM558 juta dan perolehan tahunan sehingga mencecah RM140 juta.

“Bagi bandaraya Kuching sahaja, terdapat sebanyak 265 koperasi dan mempunyai keahlian melebihi seramai 125,000 orang dengan memiliki nilai asset mencecah RM432 juta serta perolehan tahunan mencecah RM64 juta,” katanya semasa Majlis Penutupan Program Lestari Modal Insan Koperasi dan Bicara Ilmu “Transformasi Perniagaan Melalui Platform Digital: Potensi dan Peluang” anjuran MKM Zon Sarawak di Dewan Hikmah, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Advertisement

Mohd Yusof berkata dari segi program latihan kepada ahli koperasi, tahun lepas lebih 42,000 ahli koperasi dari seluruh negara telah berjaya diberikan latihan oleh MKM sedangkan pihaknya hanya mensasarkan memberi latihan kepada 40,000 ahli koperasi sahaja sepanjang tahun lepas.

Sehubungan sambutan baik ahli koperasi terhadap program latihan MKM, pihaknya ketika ini sedang berusaha meminta kerajaan mengubah nama maktab terbabit kepada ‘institut’ dan menjangka perancangan terbabit kemungkinan diluluskan pada persidangan Parlimen Mac tahun ini.

“Perubahan nama dari ‘maktab’ kepada ‘institut’ adalah penting kerana akan meningkatkan taraf latihan yang diberikan MKM berikutan taraf institut adalah hampir sama dengan taraf universiti,”katanya. — DayakDaily

Advertisement