Misteri kehilangan lelaki terungkai, warga emas itu ditemui mati

Kelihatan mangsa yang ditemui mati.

Oleh Dean Adam

LUNDU, Dis 4: Misteri kehilangan seorang lelaki warga emas sejak dua hari lepas terungkai apabila dia ditemui mati, petang tadi.

Mangsa, Nohik Gindon, 74, ditemui mati oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan penduduk kampung kira-kira pukul 4.35 petang.


Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu, Zainuddin Ngatdemon berkata, mangsa dijumpai kira-kira 1.3 kilometer dari rumahnya di kampung berkenaan.

Katanya, ketika ditemui, mangsa dalam keadaan terbaring dan sudah tidak bernyawa lagi.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke kampung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi mencari dan menyelamat itu ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6 petang sejurus mayat mangsa dibawa ke Hospital Lundu,” katanya di sini malam ini.

DayakDaily sebelum ini melaporkan mangsa dipercayai hilang selepas dikatakan keluar dari rumahnya di Kampung Siluk di sini.

Pihak bomba hanya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.55 malam.

Sebelum itu, anak mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan bapanya pada pukul 10 malam. — DayakDaily