MIRI, Julai 31: Misteri kehilangan seorang lelaki warga emas sejak beberapa hari lalu terungkai apabila ditemui mati di dalam sebuah parit di Taman Hill di Jalan Hilltop Selatan di sini hari ini.
Mayat mangsa, Jong Ah Choi, 75, ditemui oleh orang awam yang kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri, Narain Singh berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis mengenai penemuan mayat mangsa itu pada pukul 10.18 pagi.
Katanya, sejurus menerima maklumat itu, sepasukan enam anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan khidmat khas mengangkat mayat lelaki berkenaan.
“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati terdapat mayat mangsa masih berada di dalam parit tersebut.
“Pasukan bomba kemudian melakukan operasi mengeluar dan mengangkat mayat mangsa,” katanya di sini hari ini.
Narain menambah, setelah selesai, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.
Katanya, sebelum ini mangsa pernah dilaporkan hilang oleh keluarganya sebelum mayatnya dijumpai di dalam parit yang jaraknya kira-kira 300 meter dari rumahnya.
“Punca dan jenis penyakit yang dihidapi mangsa belum dapat dipastikan.
“Operasi khas tersebut tamat pada pukul 11.30 pagi,” ujarnya lagi. — DayakDaily